Tarikh: 9 Zulhijjah Tahun Ke-10 Hijrah
Tempat: Lembah Uranah, Gunung 'Arafah
Bil. yang hadir: Mencecah 144 000 orang
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan,
Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas
tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah
ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota
ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah
suci. Kembalikan
harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah
kamu sakiti sesiapapun agar
orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan
menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan
kamu. Allah
telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan
yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama
kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara
besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam
perkara-perkara kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak
atas isteri kamu, mereka
(isteri) juga mempunyai hak ke atas kamu (suami).
Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga
berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana
sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu
atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu
tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah
Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan
tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya
kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim
adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah
agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas
ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak
ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama
baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah
kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan
mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah
Al-Qur’an dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula
kepada orang lain. Semoga
yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar
dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada
hamba-hambaMu.
No comments:
Post a Comment