kehidupan didunia

..Don't judge me by my past.. I don't live there anymore.. :)

..h.a.t.i..

Search This Blog

Wednesday, February 17, 2010

Cahaya iman dan ihsan

Ketahui bahawa hati itu hanya mempunyai satu wajah, apabila kamu hadapkan cahaya kepadanya maka ia akan bersinar, dan apabila kamu hadapkan kegelapan kepadanya maka ia akan menggelap, kegelapan dan cahaya itu tidak pernah bersatu, maka fahamilah pula kata-kata Syeikh Ibnu ‘Atoillah yang menyebut:







“Bagaimanakah hati itu boleh bersinar dengan cahaya iman dan ihsan, sedangkan gambaran alam dan dunia yang gelap terpapar di cermin hati?”






Sesungguhnya dua perkara yang berlawanan tidak mungkin akan bersatu sebagaimana firman Allah SWT pada surah al Ahzaab ayat 4.






“Allah tidak menjadikan seorang lelaki mempunyai dua hati dalam rongga dadanya…”






Sedarlah wahai insan! Kamu tidak memiliki dua hati tetapi hanya satu. Apabila kamu hadapkan hati kamu itu kepada makhluk dan dunia ini, maka ia akan membelakangkan Allah. Apabila kamu hadapkannya kepada Allah, maka ia akan membelakangkan makhluk dan kamu akan mampu berjalan kepada Allah. Selama kamu tertambat dengan syahwat dan keduniaan kamu di dalam alam ini, maka kamu tidak akan mungkin dapat berjalan kepada Tuhan kamu, tidak juga kepada apa yang diisyaratkan oleh Syeikh Ibnu ‘Atoillah al Sakandari RA.






Selama hati masih tertawan atau terpenjara di dalam penjara kecenderungan atau keinginan kepada sesuatu yang akan binasa, dia masih terikat dengannya. Orang yang mempunyai hati sedemikian, tidak akan dapat berjalan menuju kepada keredaan Allah. Bahkan, tidak akan terpancar ke atasnya cahaya makrifat. Keterikatan hatinya dengan syahwat merupakan penghalang yang akan menegah dan menghalangnya daripada menuju kepada Allah disebabkan kesibukan dan keasyikannya dengan perkara-perkara yang memalingkannya daripada berjalan menuju kepada Allah.






Sekalipun tidak dinafikan dia mungkin dapat berjalan bersama nafsu syahwatnya, nafsunya akan melemahkan dan menghalangnya daripada dapat berjalan dengan cepat kerana kecenderungannya terhadap nafsu syahwatnya. Sekalipun dia mungkin dapat berjalan dengan cepat, dia tetap tidak akan aman daripada perkara-perkara yang akan menggelincirkannya kerana keseronokan dan kesenangannya dengan syahwat tersebut.






Sebab itu, para pembesar Sufi meninggalkan kelazatannya, sehingga berkata sebahagian daripada mereka: “Sengatan tebuan atas badan yang luka itu lebih ringan daripada sengatan syahwat atas hati orang yang sedang bertawajjuh kepada Allah.” (Ibnu ‘Ajibah, Iqaz al-Himam, H: 44)






Justeru, wahai saudaraku! Putuskanlah dan lepaskanlah dirimu dari perkara yang menghalang perjalanan kamu. Berjalan dan berhijrahlah kamu kerana hijrah adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Semenjak Nabi SAW berhijrah, Baginda SAW tidak pernah menikmati masa untuk berehat melainkan di dalam musafir untuk berjihad sehingga Allah membuka sebuah negara untuknya.






Begitu juga para sahabat, hanya segelintir sahaja daripada mereka yang tinggal tetap di negara mereka sehingga dengan tangan-tangan mereka Allah membuka negara-negara yang lain dan memberikan petunjuk kepada hamba-hamba Allah yang lain. Semoga Allah memanfaatkan kita dengan keberkatan mereka, Amin.






Hidupkanlah hati kita dengan meninggalkan terlebih dahulu perkara-perkara yang boleh menggelapkan dan mematikan hati. Selanjutnya sinarilah ia dengan cahaya-cahaya ketaatan dan keikhlasan. Sesungguhnya hati yang hidup akan sentiasa mendorong pemiliknya melakukan amal dan ketaatan dan meninggalkan dosa dan kejahatan dengan hati yang gembira tanpa rasa penat dan payah. Wallahu a’lam.


No comments: