kehidupan didunia

..Don't judge me by my past.. I don't live there anymore.. :)

..h.a.t.i..

Search This Blog

Wednesday, February 17, 2010

musibah matinya hati..

KEHADIRAN bulan Safar al-Khair mengimbau kembali kisah kegeringan Rasulullah SAW sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Rabiulawal. Jika Rasulullah SAW itu adalah kekasih dan keutamaan kita, maka sudah tentu saat-saat yang memilukan itu menarik perhatian dan perasaan kita.








Sesungguhnya kewafatan Rasulullah SAW adalah musibah terbesar bagi umat Islam sehingga terdapat ulama yang menulis buku khusus mengenai musibah kewafatan Rasulullah. Setelah kewafatan Baginda, ada yang masih lemah imannya menjadi murtad, tidak mahu menunaikan zakat dan berpecah belah. Sesungguhnya inilah musibah terbesar yang pernah menimpa sahabat-sahabat Baginda. Hanya kekentalan iman menjadi penyelamat ketika itu.






Hari ini, umat Islam ditimpa musibah yang tidak kurang besarnya iaitu matinya hati. Pelbagai peringatan yang diberikan tetapi bak mencurah air di daun keladi. Inilah penyakit hati yang dikhuatiri oleh Rasulullah akan berlaku ke atas umatnya. Inilah kematian yang paling sukar untuk dipastikan kerana tidak ditandai dengan kain kapan putih ataupun batu nisan.






Apa pun, selaku insan yang sentiasa menginsafi diri, kita masih boleh menghisab diri, apakah musibah ini telah mengenai diri kita atau kita termasuk di kalangan mereka yang terselamat. Terdapat tiga tanda yang digariskan oleh ulama iaitu, tidak merasa sedih apabila tidak berkesempatan melakukan amal ketaatan, tidak menyesal apabila terlanjur melakukan dosa dan suka bersahabat dengan orang-orang yang lalai dan telah mati hatinya. Inilah alamat ringkas yang diletakkan oleh Syeikh Ibnu ‘Atoillah dalam kalam hikmahnya.






Maka dapat difahami bahawa keriangan dan kegembiraan seseorang kerana ketaatan yang dilakukannya dan kesedihan seseorang disebabkan maksiat yang dilakukannya merupakan tanda hidupnya hati seseorang. Rasulullah SAW telah bersabda:


“Sesiapa yang digembirakan oleh kebaikannya dan disedihkan oleh kejahatannya, maka dia adalah orang mukmin.” (riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim)






Namun, ini bukanlah kegembiraan yang bercampur dengan perasaan ‘ujub. Orang yang bersifat ‘ujub hanya memandang kepada daya dan kekuatannya dan lupa tentang anugerah Allah dalam mengurniakan taufik dan hidayah kepadanya. Hendaklah kita menjauhi sifat ‘ujub kerana ia boleh menghapuskan pahala amal-amal yang dilakukan. Begitu juga perasaan riak.






Amal kebaikan merupakan tanda keredaan Allah dan keredaan-Nya membawa kepada kegembiraan. Manakala amal kejahatan merupakan tanda kemurkaan Allah dan kemurkaan-Nya membawa kepada kesedihan. Sesiapa yang diredai oleh Allah, maka Allah mengizinkannya untuk melakukan amal soleh. Sesiapa yang dimurkai oleh Allah, maka Allah meninggalkannya dan membiarkannya berada dalam kelalaian dan kehinaan.






Abdullah ibn Mas’ud RA berkata:






“Orang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang berada di kaki gunung; dia takut kalau gunung itu akan menghempapnya. Manakala ahli maksiat melihat dosanya hanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya maka mudah untuk menghalaunya.”






Namun demikian, tidak sepatutnya pula seseorang hamba yang apabila telah melakukan dosa, dikalahkan oleh kesalahan yang dilakukannya. Dikalahkan dalam bentuk bersikap pesimis, tidak lagi mengharap keampunan Tuhannya dan berprasangka buruk terhadap Tuhannya. Bagi orang yang benar-benar beriman dan hidup hatinya, rasa khawf dan raja‘ (takut dan harap kepada Allah) mesti ada pada dirinya. Allah telah menyifatkan para nabi dan rasul-Nya serta pengikut mereka dari kalangan kaum mukminin yang solehin dengan kedua-dua sifat ini, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Israa’ ayat 57.






“Orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan kepada Tuhannya, siapakah yang lebih dekat serta mereka mengharapkan rahmat-Nya dan gerun takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah ditakuti.”






Syeikh Ibnu ‘Atoillah RA menyatakan dalam Hikamnya: “Janganlah kerana besarnya dosa di sisi kamu, menghalang kamu daripada berprasangka baik dengan Allah kerana orang yang telah kenal Tuhannya, nescaya akan menganggap dosanya kecil di sisi kemurahan Allah yang luas.”






Manakala sebab yang membawa kepada matinya hati ialah :






1.Cintakan dunia


2.Lalai daripada mengingati Allah


3.Menggunakan anggota untuk melakukan maksiat.


Di antara perosak yang terbesar ialah kasih terhadap dunia, berkeinginan kepadanya, sangat tamak terhadapnya, berminat dengannya, kasihkan pangkat dan harta dunia dan tamak terhadap keduanya, kikir dan bakhil dengan harta dunia. Firman Allah dalam surah Hud ayat 15-16.






“Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.”






Kecintaan kepada dunia adalah kepala segala kejahatan. Ia akan menghalang seseorang daripada melakukan kebaikan akibat hati yang telah digelapi oleh perkara-perkara keduniaan. Justeru, Syeikh Ibnu ‘Atoillah menyatakan






“Bagaimana hati dapat bercahaya, sedangkan gambaran-gambaran alam maya termeteri di cermin hati?”






Allah SWT menjadikan hati manusia itu seperti cermin yang memaparkan dan memantulkan imej setiap benda yang dihadapkan kepadanya. Cermin itu pula hanya mempunyai satu muka. Apabila Allah SWT hendak memberikan inayah-Nya kepada seseorang hamba, maka Dia menyibukkan fikiran hamba tersebut dengan cahaya-cahaya-Nya dan pelbagai kebaikan dan Dia tidak membelenggu atau menambat hati hamba tersebut dengan suatu perkara dari alam yang gelap dan khayalan yang meragukan. Maka terpaparlah di cermin hatinya cahaya-cahaya iman dan ihsan, dan terpancarlah padanya cahaya tauhid dan makrifah.






Begitulah sebaliknya, jika Allah mahu membiarkan seseorang hamba (mengeluarkannya daripada inayah-Nya) dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya, maka Dia akan menyibukkan pemikiran hamba tersebut dengan kegelapan dunia dan syahwat. Maka kegelapan dunia ini akan terpapar di cermin hatinya. Lalu hatinya akan terhijab daripada sinar makrifah dan cahaya keimanan.






Semakin banyak gambaran dunia bertindih-tindih di cermin hatinya, maka semakin pudar cahayanya dan semakin tebal hijabnya. Maka dia tidak akan dapat melihat melainkan apa yang zahir sahaja dan dia tidak dapat berfikir melainkan perkara lahiriah sahaja.






Ada di antara hijabnya sangat dahsyat hingga menutup seluruh hati dan seluruh cahaya terpadam hingga dia menafikan terus kewujudan cahaya dari asalnya. Semoga dilindungi oleh Allah.






Ada di antaranya pula, hanya sedikit karatnya dan nipis hijabnya, maka dia mengakui kewujudan cahaya tersebut tetapi tidak dapat melihatnya. Ini ialah makam (kedudukan) kaum Muslimin awam.






Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda:






“Sesungguhnya hati itu akan berkarat sepertimana karatnya besi, dan sesungguhnya iman itu akan lusuh seperti lusuhnya baju yang baru.”






Namun dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:






“Setiap sesuatu itu ada penggilapnya dan penggilap hati ialah zikrullah.”






Sabda Rasulullah SAW juga:






“Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melakukan kesalahan, digores di dalam hatinya dengan bintik hitam. Sekiranya dia menanggalkannya dan memohon keampunan, maka ia akan berkilau. Sekiranya dia kembali melakukan kesalahan, ditambah pada hatinya bintik hitam tersebut sehingga menyelubungi hatinya.”






Maka itulah selaput kegelapan yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Mutoffifin ayat 14.






“Sekali-kali tidak! Bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab apa yang mereka kerjakan.”

No comments: